Thursday, June 24, 2010

Daieyah Zainab al-Ghazali

Permata Dakwah Yang Berkilau Di Era Jatuhnya Islam

Zainab al-Ghazali

Zaynab al-Ghazali bukanlah seperti wanita biasa. Seperti Aisha Abdul Rahman, beliau merupakan rakyat Mesir dan mempertahankan hak-hak wanita Islam berdasarkan apa yang diyakini beliau sebagai fahaman Islam yang betul. Beliau dilahirkan di Al-Bihira pada tahun 1917 di dalam keluarga yang terhormat, keturunan Umar al-Khattab dan al-Hasan bin Ali bin Abi Talib. Ayah beliau juga merupakan lulusan al-Azhar. Beliau lebih terkedepan sebagai pejuang dan aktivis Islam daripada seorang yang ulama’. Sewaktu mudanya, beliau aktif dalam pergerakan feminis, dan menyertai Kesatuan Wanita Mesir (Egyptian Feminist Union) yang diasaskan oleh Huda as-Syarawi pada tahun 1923. Beliau telah keluar daripada persatuan itu disebabkan tidak bersetuju dengan idea dan landasan perjuangan gerakan pembebasan wanita. Pada umur 18 tahun (1936), beliau mengasaskan Persatuan Wanita Islam untuk menguruskan hal-ehwal dan akitiviti-aktiviti wanita berlandaskan ajaran Islam dan tujuan ke arah Islam.

Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Hasan al-Banna pada 1928 mempunyai perancangan untuk mengasaskan sayap wanita di dalam pertubuhannya. Hasan al-Banna telah meminta beliau untuk mengetuai bahagian wanita dalam Ikhwan Muslimin. Beliau dan persatuannya menolak tawaran ini tetapi menyatakan persetujuan untuk memberikan kerjasama. Setelah Ikhwan Muslimin dibubarkan pada tahun 1948, Zaynab al-Ghazali telah berbaiah kepada Hasan al-Banna pada tahun 1949 untuk menyokongnya dan bersama memperjuangkan sebuah daulah Islam. Malangnya Hasan al-Banna telah gugur syahid tidak lama setelah itu. Kesedihan hati Zaynab telah tercoret dalam bukunya yang masyhur, Hari-hari Dalam Hidupku. Beliau menyambung perjuangan dan mengotakan baiahnya kepada pemimpin Ikhwan Muslimin yang menggantikan Hasan al-Banna iaitu Hasan al-Hudhaibi. Beliau menyertai dan bersama dengan ahli Ikhwan Muslimin terutama apabila Ikhwan Muslimin diharamkan dan mereka terpaksa bergerak secara rahsia di bawah pemerintahan Jamal Abdul Naser sekitar tahun 1950-1960an.Dalam satu temuramah dirumahnya di Heliopolis, Mesir pada tahun 1981, Zainab al-Ghazali berkata:

“Islam telah menyediakan segala-galanya untuk lelaki dan perempuan. Islam memberikan wanita semuanya-kebebasan,hak ekonomi,hak politik,hak social, hak awam dan juga hak persendirian. Islam telah memberikan hak-hak wanita di dalam keluarga lebih daripada persatuan dan agama lain. Wanita boleh berkata tentang kebebasan wanita dalam masyarakat Kristian,Yahudi dan juga masyarakat pagan, tetapi dalam masyarakat Islam adalah satu kesilapan besar untuk berkata tentang kebebasan wanita. Wanita Muslim perlu mempelajari Islam supaya mereka tahu Islam telah memberikan mereka semua hak-hak mereka.”

Inilah intipati pemikiran Zainab al-Ghazali berkenaan dengan status wanita seperti yang selalu diluahkan dan disampaikan beliau dalam ceramah-ceramah beliau dan juga karya-karya beliau di dalam majalah al-Da’wa, dimana beliau merupakan editor sebuah ruangan untuk pembangunan rumah tangga Muslim yang sebenar. Perkara utama dalam perjuangan beliau adalah pentarbiyahan, iaitu untuk memberi kefahaman Islam di dalam pemikiran wanita, mendidik mereka tentang hak-hak dan tanggungjawab mereka dan mengubah masyarakat untuk membina sebuah daulah Islamiah yang berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.

Zainab al-Ghazali meyakinin bahawa Islam membenarkan wanita untuk bergiat aktif dalam hal social, memegang jawatan, memasuki politik dan juga memberi pendapat. Beliau percaya Islam membenarkan wanita memiliki harta, menguruskan perniagaan dan apa sahaja yang mereka mahu dalam perkhidmatan masyarakat Islam. Beliau berpendapat tugas utama wanita Muslimah ialah menjadi ibu dan isteri. Oleh itu, tiada tanggungjawab lain yang boleh mengatasi tanggungjawab ini. Jika wanita itu mempunyai masa luang untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan setelah tugasnya sebagai ibu dan isteri telah dipenuhi, maka dia boleh berbuat demikian kerana Islam tidak melarang perbuatan tersebut.

Zainab al-Ghazali sangat meyakini tanggungjawab agama dan social apabila berkahwin. Pada perkahwinan beliau yang pertama, suami beliau tidak bersetuju untuk membenarkan beliau bergiat aktif dalam perjuangan Islam. Dengan sebab itu, beliau telah meminta cerai daripada suaminya kerana pra-syarat yang diletakkan oleh beliau sebelum berkahwin adalah membenarkan beliau memperjuangkan Islam. Suami beliau yang kedua memahami semangat dan gagasan perjuangan beliau dan melibatkan diri dalam penulisan untuk menyokong beliau dan sama sekali tidak menghalang beliau dari perjuangan. Didalam buku ‘Hari-hari dalam Hidupku’ (Ayyam min Hayati) beliau mengisahkan bagaimana suami beliau walaupun sangat bimbang akan diri beliau tetapi terus menerus menyokong perjuangan suci beliau. Zainab al-Ghazali juga menekankan beliau tidak akan mengabaikan tanggungjawab kepada suami dan keluarga beliau walaupun beliau Amirah sayap wanita Ikhwan Muslimin. Tanggungjawab beliau yang berat itu menyebabkan beliau perlu bekerja pada waktu yang panjang di pejabat beliau dan aktiviti bersama Ikhwan Muslimin. Setelah kematian suaminya yang kedua, beliau masih di dalam penjara. Beliau merasakan tanggungjawabnya terhadap perkahwinan telah selesai dan beliau bebas untuk mengorbankan seluruh masanya untuk perjuangan Islam.

Sebagaimana pejuang-pejuang Islam yang lain, beliau juga kecewa dengan revolusi Mesir 1952 yang didokong mereka pada mulanya dan akhirnya pejuang Islam telah dikhianati oleh Jamal Abdul Naser. Zainab al-Ghazali menyatakan bahawa rejim Jamal Abdul Naser adalah musuh kepada Islam. Setelah beberapa tokoh Ikhwanul Muslimin ditangkap dan dihukum mati dan ramai dipenjara, beliau mendahului pergerakan untuk menolong isteri, janda dan keluarga pejuang yang telah dibunuh dan dipenjarakan. Walaupun dipenjara, beliau meningkatkan usaha tarbiyyah secara rahsia diketuai oleh pimpinan Ikhwan Muslimin. Dalam tahun 1962, beliau dapat berhubung dengan Sayyid Qutb melalui dua orang adik Sayyid Qutb dan menerima tulisan beliau berkenaan perjuangan Islam dan tafsir al-Quran dan hadith serta syariah Islam. Beliau juga menerima sebahagian dari buku yang dikarang oleh Sayyid Qutb dalam penjara yang kemudian diterbitkan dengan judul Ma’alim Fit-Tariq (Petunjuk Sepanjang Jalan).

.Tulisan dan petunjuk daripada Sayyid Qutb di dalam penjara dan juga ayat-ayat al-Quran akan dipelajari dalam satu kumpulan terdiri daripada lima hingga sepuluh pemuda yang berjumpa pada waktu malam di rumah Zainab ataupun tempat lain. Perbincangan, pandangan dan pendapat diutarakan di dalam pertemuan tersebut. Dengan persetujuan Sayyid Qutb dan pimpinan Ikhwan Muslimin, keputusan untuk menjalankan program tarbiyyah selama 13 tahun sepertimana zaman Rasulullah saw di era Mekah. Apabila tempoh ini berakhir, maka studi dan kajian akan dibuat adakah sekurangnya 75% daripada rakyat Mesir sudah yakin dengan keperluan adanya daulah Islam dan membangunkannya. Jika ianya terjadi maka gerak kerja menubuhkan daulah Islam akan dilakukan dan jika belum lagi mencapai tahap tersebut, program pentarbiyahan akan dilakukan semula selama 13 tahun lagi sehingga sehingga rakyat bersedia untuk membina daulah Islam, menerima pakai undang-undang syariah Islam dan menegakkan hukum Islam berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.

Apabila kerajaan Mesir berasa curiga dengan perkumpulan rahsia dan matlamat mereka ini, Ikhwan Muslimin diserbu pada tahun 1965. Ikhwah dan akhawat pergerakan Ikhwan Muslimin semuanya ditangkap dan dipenjarakan. Zainab al-Ghazali adalah salah seorang daripada mereka. Jemaah wanita Ikhwan Muslimin dibubarkan. Beliau dibicarakan bersama sahabiah yang lainnya pada tahun 1966 dan dihukum penjara seumur hidup dengan kerja berat. Satu hukuman yang tidak masuk akal bagi seorang wanita. Namun pada tahun 1971 beliau telah dibebaskan apabila kematian Jamal Abdul Nasir dan Anwar Sadat mengambil alih tampuk pemerintahan. Setelah itu, beliau terus sahaja meneruskan perjuangan beliau tanpa mengenal penat lelah dalam mendaulatkan Islam dibumi Mesir.

Beliau merupakan wanita yang terkemuka setelah jatuhnya khilafah Islamiah di Mesir. Beliau tidak mempunyai anak dan segalanya hidupnya diserahkan kepada perjuangan Islam. Beliau juga menjadi sanjungan dan pendorong kepada perjuangan wanita di seluruh dunia. Beliau dihormati oleh kawan dan lawan, malah disegani oleh tokoh-tokoh ulama’ kerana perjuangannya yang luar biasa.

Zainab al-Ghazali kembali ke rahmatullah pada hari Rabu 3 Ogos 2005 di kala umur beliau 88 tahun. Ternyata umur yang panjang yang dianugerahkan Allah pada beliau telah digunakan tanpa sia-sia sedikitpun, semuanya dikorbankan demi menegakkan agama Allah yang mulia. Beliau terus menjadi idola dakwah kepada pejuang-pejuang Islam di seluruh dunia. Beliau juga menjadi bukti kukuh bahawa sebenarnya Islam mampu membina wanita yang berjuang untuk Islam. Sejarah hidup beliau persis hidup srikandi di teratak Rasulullah saw. Jadi tidaklah salah jika kita menggelarnya sebagai Ummul Mujahidah pada masa kini. Moga Allah mencucuri rahmat yang melimpah ruah kepada beliau dan menjadikan beliau di kalangan para siddiqin,amilin dan mujahidin.

No comments:

Islam dan Waktu - Hassan alBanna

Islam datang berbicara tentang waktu. Islam menjelaskan tentang nilai waktu dan nikmatnya. Islam juga menjelaskan kepada umat manusia bahawa umur mereka terbatas. ”Tiap-tiap umat itu ada ajalnya tersendiri.” (Al-A’raf: 34)

Islam datang memperingatkan kita agar jangan sampai lalai. Islam menjelaskan bahawa yang paling bererti dalam kehidupan ini adalah waktu. Nabi saw. Bersabda,”Tidak ada satu hari pun yang fajarnya menyinsing kecuali ia pasti mengatakan,”wahai anak Adam, aku adalah ciptaan baru yang menjadi saksi atas amal perbuatan kalian. Berbekallah dengan menggunakan kesenpatan yang ada, kerana sesungguhnya aku tidak akan kembali lagi hingga hari kiamat.” Waktu itu terbatas, dan perbuatanmu setiap waktu akan dihitung. ”Para malaikat siang dan malam secara bergiliran sentiasa mengawasimu.” Putaran siang berakhir hingga asar, dan putaran malam berakhir hingga subuh. Segala amal perbuatanmu yang baik mahu pun buruk akan sentiasa dihitung dan dicatat. ”Sebenarnya Kami sentiasa mendengar, dan utusan-utusan Kami pun sentiasa mencatat di sisi mereka.”(Az-Zukhruf: 80).”Dialah yang mempunyai kekuasaan tertinggi di atas semua hambaNya, dan Dia mengutus kepada kalian malaikat-malaikat penjaga.”(Al-An’am: 61) clock.jpgIslam datang untuk menolehkan pandangan manusia agar melihat bahawa sesungguhnya Allah SWT. telah menganugerahkan kepada mereka sekian banyak hari dan waktu untuk diisi dengan perbuatan bermanfaat. Jika mereka mahu memperhatikan hal ini, mereka pasti berbahagia dan beruntung. Jika tidak, mereka pasti akan sengsara dan merugi. ”Maka tatkala mereka telah melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu kesenangan untuk mereka. Sehingga apabila mereka telah girang dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, kami siksa mereka dengan tiba-tiba, sehingga ketika itu mereka terdiam berputus asa.”(Al-An’am: 44) Islam menjelaskan kepada kalian bahawa waktu kalian sangatlah terbatas. Ia merupakan anugerah dari Allah SWT. yang diberikan kepada kalian. Maka kewajiban kalianlah membekalkan diri dengan mengisi waktu, kerana dalam kehidupan ini, sesuatu yang paling mahal nilainya adalah waktu. Jika waktu telah berakhir, ia takkan dapat diganti. Bila telah berlalu, ia tak akan kembali. Kerana itu, Abu Bakar ra. Pernah berdoa,”Ya Allah, janganlah Engkau siksa kami secara tiba-tiba.” Allah SWT. telah memerintahkan kita untuk menggunakan waktu dalam empat perkara: * Pertama: Dalam perkara yang dapat menyelamatkan keagamaan kita, iaitu berupa ketaatan kepada Allah SWT. Ini terbahagi kepada dua:o Perkara-perkara yang difardhukan oleh Allah kepada kita dan tertentu waktunya, seperti salat, zakat, puasa, haji dan seterusnya.o Perkara-perkara yang dianjurkan oleh Allah kepada kita berupa amalan-amalan nafilah (sunnah), seperti tilawah Al-Quran, sodaqah, zikir dan membaca Selawat Nabi. * Kedua: Dalam perkara-perkara yang juga memberikan manfaat kepada kita , berupa mencari rezeki yang halal untuk keperluan kita dan keluarga yang kita tanggung. Jika hal ini kita lakukan dengan ikhlas, ia menjadi amal ibadah. Rasulullah saw. Bersabda.”Barangsiapa di petang hari keletihan kerana bekerja, di petang itu dia mendapat ampunan.” * Ketiga: Dalam perkara-perkara yang mendatangkan manfaat kepada orang lain. Itu merupakan bahagian dari bentuk penghampiran (qurbah) diri yang paling agung. Rasulullah saw. Bersabda, ”Barangsiapa keluar rumah untuk memenuhi hajat saudaranya, ia seperti orang yang melakukan iktikaf di masjidku ini selama sebulan.” Hal ini memuatkan hakikat bahawa manusia seluruhnya adalah ”keluarga” Allah. Orang yang paling dekat denganNya adalah yang paling baik terhadap keluarganya. Kerana itu, engkau mesti dapat memberikan manfaat kepada mereka, sama ada dalam aspek material atau pun lainnya. * Keempat: Dalam perkara yang dapat memberi ganti atas sesuatu yang hilang dari kita, iaitu waktu istirehat. Kerana sesungguhnya badanmu itu mempunyai hak yang harus kau tunaikan. Kerana itu, tentukanlah waktu khusus untukmu, yang di situ kamu dapat memperbaharui kegiatanmu dan menyegarkan kembali semangatmu. Itu dapat dilakukan dengan cara berenang, memanah, menunggang kuda, santai yang baik, dan jenis-jenis ketrampilan olahraga lainnya. Sayangnya kita telah terbiasa untuk tidak mengenal nilai waktu dalam berbagai aktiviti kehidupan kita. Kita tidak menghargai waktu sebagaimana mestinya dan kita menggunakannya untuk hal-hal yang tidak ada kaitan sama sekali dengan Islam, seperti menonton filem, teater, tarian dan menghadiri kelab-kelab yang penuh maksiat. Kita bertaqlid kepada Eropah secara buta, lebih mengutamakan kegiatan itu daripada kegiatan yang baik dan amalan-amalan yang bermanfaat. Kita memohon kepada Allah SWT. taufiq yang kekal serta hidayah menuju jalan yang paling lurus. Semoga Allah melimpahkan selawat dan salam kepada penghulu kita Muhammad, serta keluarga dan para sahabatnya.