Tuesday, July 22, 2014

Srikandi Mujahidah di Teratak Sayyid Qutb

Srikandi Mujahidah di Teratak Sayyid Qutb

http://saifulislam.com/?p=301

Sayyid Qutb adalah seorang tokoh yang amat mesra bagi mereka yang terjun ke medan dakwah. Penulisan-penulisannya menjadi panduan dan sumber inspirasi kepada para petugas Islam. Karangan beliau seperti Tafsir Fi Dhilal al-Quran dan Petunjuk Sepanjang Jalan, menjadi teman akrab pendakwah untuk menyalakan suluhan tarbiah Islam. Perjuangannya di dalam Ikhwan al-Muslimin bersama rakan-rakan seperti Hasan Hudhaibi, adalah lanjutan kepada momentum yang telah dicetuskan oleh pengasasnya al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna


Namun, tidak ramai yang berpeluang mengenali kehidupan Asy-Syahid Sayyid Qutb secara mendalam. Tidak banyak maklumat yang diketengahkan kepada pembaca tentang latar belakang keluarganya yang sudah tentu memberikan kesan yang besar kepada pembentukan peribadi dan kualiti diri Asy-Syahid malah kemudiannya turut terkesan dengan ketokohan Asy-Syahid itu sendiri.

Di dalam kesempatan ini, kita akan mengambil peluang untuk mengenali tokoh srikandi yang menjadi sendi penting di dalam ketokohan Asy-Syahid Sayyid Qutb itu sendiri. Semoga ia menjadi dorongan kepada wanita muslimah hari ini untuk menggembeleng peranan dan potensi mereka ke arah produksi lebih ramai insan luar biasa seperti Asy-Syahid Sayyid Qutb di tengah-tengah gelombang cabaran akhir zaman ini.

Bonda Sayyid Qutb berasal dari sebuah keluarga yang mulia. Beliau berkahwin dengan Qutb Ibrahim, ayahanda kepada Sayyid Qutb sebagai isteri kedua, tinggal bersama-sama Qutb Ibrahim seketika di Kaherah sebelum pulang ke kampung bersama keluarganya.

Bonda Sayyid Qutb mempunyai empat adik-beradik lelaki, dua daripadanya menuntut di al-Azhar asy-Syarif. Salah seorangnya dikenali sebagai Ahmad Husain Othman yang lebih dikenali sebagai Ahmad al-Moushi, nisbah kepada perkampungan Moushah. Ketika Sayyid Qutb menuntut di Kaherah, beliau tinggal bersama bapa saudaranya ini, Ahmad al-Moushi.

Sayyid Qutb dibesarkan oleh bondanya yang memiliki kesempurnaan sifat sebagai seorang wanita yang solehah dan berjiwa kental. Beliau seorang yang pemurah dan banyak bersedekah. Beliau gemar memasakkan makanan untuk pekerja-pekerjanya di ladang serta tetamu-tetamu yang datang mengaji di rumah beliau. Bonda Sayyid Qutb tidak pernah mengganggap semua ini sebagai bebanan kerana beliau menjadikan amalan ini sebagai usahanya mendekatkan diri kepada Allah SWT. Amalan seperti ini sememangnya menjadi tradisi isteri kepada pejuang-pejuang Islam khususnya di rumah-rumah dan pondok pengajian. Bukan sahaja kesetiaan menuntut ilmu dan bekerja yang terhasil malah kesemua yang bernaung di bumbung itu terikat dengan perasaan kasih sayang yang terpercik dari sifat pemurah dan penyayang wanita solehah yang menjadi srikandinya.

Bonda Sayyid Qutb juga amat gemar mendengar bacaan al-Quran malah beliau amat mudah terkesan dengan ayat-ayat yang dibacakan itu. Hal ini dijelaskan oleh Sayyid Qutb di dalam bukunya at-Tasweer al-Fanni fi al-Qur”™aan: “Setiap kali engkau asyik mendengar tilawah al-Quran dari belakang tabir oleh para Qurra”™ yang datang mengaji ke rumah kita di sepanjang bulan Ramadhan, seandainya aku tercuai dan ingin bermain-main seperti kanak-kanak yang lain, engkau akan mengisyaratkan kepadaku dengan tegas sehingga aku terdiam dan turut menyertaimu mendengar bacaan itu. Dari situlah jiwaku mula meneguk irama al-Quran walaupun dengan usiaku yang masih kecil, belum mampu memahami makna bacaan itu…

Ketika aku membesar di dalam penjagaanmu, aku telah dihantar ke Madrasah Awwaliyyah di kampung. Harapan terbesarmu kepadaku adalah supaya Allah membukakan jalan kemudahan bagiku oleh Allah untuk aku menghafaz al-Quran dan direzekikan kepadaku suara yang lunak untuk membacanya. Sesungguhnya semenjak itu aku sentiasa membacakan al-Quran bagimu di setiap masa dan setiap ketika…

Kini engkau telah pergi meninggalkanku, wahai bonda tersayang. Gambaran terakhir dirimu yang sentiasa segar di ingatanku adalah samar-samar dirimu yang sering duduk di hadapan radio, mendengar keindahan bacaan-bacaan al-Quran. Amat jelas pada lekuk-lekuk wajahmu yang mulia, tanda-tanda mendalamnya ertimu terhadap makna yang tersurat lagi tersirat kalimah al-Quran itu, dengan hatimu yang agung dan perasaan halusmu yang merenung.” [ms 5, at-Taswir al-Fanni fi al-Quran, Dar ash-Shurooq, tanpa tarikh].

Sayyid adalah anak sulung lelaki beliau di samping anak-anaknya yang lain iaitu Aminah, Hamidah dan Muhammad. Wanita berjiwa besar ini telah membesarkan anaknya, Sayyid, dengan penuh ketelitian. Pada “Sayyid”lah beliau letakkan segala harapan, lantas anaknya ini dibesarkan dengan iman, kemuliaan dan latihan pendedahan memikul tanggungjawab. Malah bonda Sayyid Qutb mahukan anaknya ini menjadi dewasa lebih awal dari masa biasanya. Sayyid sentiasa ditiupkan jiwa kedewasaan sehingga beliau acapkali menjauhkan diri dari suasana kebudak-kebudakan yang mengiringi zaman kanak-kanaknya.

Sesungguhnya bonda Sayyid Qutb telah menggabungkan dua unsur penting yang membina keperibadian mujahid dan mujaddid ini. Beliau limpahkan sepenuh rasa kasih sayang dan kemanjaan seorang ibu kepada anak, tetapi kasih sayang itu disiram dengan keakraban al-Quran. Kasih sayang itu bukanlah kemanjaan yang membinasakan proses pembinaan syakhsiah jati diri anaknya kerana di dalam kemanjaan itu, bonda Sayyid Qutb membina keyakinan diri yang tinggi di dalam diri anaknya supaya membesar sebagai seorang yang berjiwa tinggi.

Bonda Sayyid Qutb kembali ke rahmatullah pada tahun 1940. Kematiannya memberikan impak yang amat besar kepada Sayyid Qutb. Ia dibayangkan menerusi ungkapan beliau di dalam tulisannya al-Atyaaf al-Arba”™ah ms. 168 [oleh Sayyid Qutb dan adik beradiknya, terbitan Beirut 1967M tanpa nama penerbit]:

“Bonda..

Siapakah selepas ini yang akan menceritakan kisah zaman kanak-kanakku, seakan-akan ia suatu peristiwa yang baru semalam berlaku? Siapakah lagi yang akan membayangkan kepadaku zaman muda untuk dibawa kembali bayangannya kepada kehidupan dan diundang semula kepada alam wujud ini buat kali yang seterusnya?

Engkau telah memberikan gambaran terhadapku bahawa diriku adalah insan yang istimewa semenjak aku masih di dalam dodoian buaian kehidupan. Kau sering hikayatkan kepada diriku tentang impianmu yang lahir dengan kelahiranku, yang merangkak-rangkak terserap ke dalam jati diriku bahawa aku seorang yang mulia. Ia telah tergalas di atas diriku sebagai suatu tanggungjawab yang besar dan semua ini adalah dari tatih impianmu terhadapku dan “˜wahyu”™ bisikan hatimu. Siapakah nanti yang akan membisikkan kepadaku khayalan-khayalan yang membara itu? Siapakah lagi yang akan meniupkan dorongan ke dalam hatiku..?.”

Amat benarlah bagai yang dikata pepatah: “tangan yang mengayun buaian itu bisa menggoncang dunia”. Sentuhan tarbiah tangan seorang ibu telah melahirkan seorang mujahid seperti Sayyid Qutb, yang limpahan hikmahnya terus mengalir deras ke jiwa pejuang Islam, di sepanjang zaman…

- Diolah semula dari kitab Sayyid Qutb: Min al-Meelaad ilaa al-Istisyhaad karangan Solah Abdul Fattah al-Khalidi [Darul Qalam, Damascus, 1994M]

No comments:

Islam dan Waktu - Hassan alBanna

Islam datang berbicara tentang waktu. Islam menjelaskan tentang nilai waktu dan nikmatnya. Islam juga menjelaskan kepada umat manusia bahawa umur mereka terbatas. ”Tiap-tiap umat itu ada ajalnya tersendiri.” (Al-A’raf: 34)

Islam datang memperingatkan kita agar jangan sampai lalai. Islam menjelaskan bahawa yang paling bererti dalam kehidupan ini adalah waktu. Nabi saw. Bersabda,”Tidak ada satu hari pun yang fajarnya menyinsing kecuali ia pasti mengatakan,”wahai anak Adam, aku adalah ciptaan baru yang menjadi saksi atas amal perbuatan kalian. Berbekallah dengan menggunakan kesenpatan yang ada, kerana sesungguhnya aku tidak akan kembali lagi hingga hari kiamat.” Waktu itu terbatas, dan perbuatanmu setiap waktu akan dihitung. ”Para malaikat siang dan malam secara bergiliran sentiasa mengawasimu.” Putaran siang berakhir hingga asar, dan putaran malam berakhir hingga subuh. Segala amal perbuatanmu yang baik mahu pun buruk akan sentiasa dihitung dan dicatat. ”Sebenarnya Kami sentiasa mendengar, dan utusan-utusan Kami pun sentiasa mencatat di sisi mereka.”(Az-Zukhruf: 80).”Dialah yang mempunyai kekuasaan tertinggi di atas semua hambaNya, dan Dia mengutus kepada kalian malaikat-malaikat penjaga.”(Al-An’am: 61) clock.jpgIslam datang untuk menolehkan pandangan manusia agar melihat bahawa sesungguhnya Allah SWT. telah menganugerahkan kepada mereka sekian banyak hari dan waktu untuk diisi dengan perbuatan bermanfaat. Jika mereka mahu memperhatikan hal ini, mereka pasti berbahagia dan beruntung. Jika tidak, mereka pasti akan sengsara dan merugi. ”Maka tatkala mereka telah melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu kesenangan untuk mereka. Sehingga apabila mereka telah girang dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, kami siksa mereka dengan tiba-tiba, sehingga ketika itu mereka terdiam berputus asa.”(Al-An’am: 44) Islam menjelaskan kepada kalian bahawa waktu kalian sangatlah terbatas. Ia merupakan anugerah dari Allah SWT. yang diberikan kepada kalian. Maka kewajiban kalianlah membekalkan diri dengan mengisi waktu, kerana dalam kehidupan ini, sesuatu yang paling mahal nilainya adalah waktu. Jika waktu telah berakhir, ia takkan dapat diganti. Bila telah berlalu, ia tak akan kembali. Kerana itu, Abu Bakar ra. Pernah berdoa,”Ya Allah, janganlah Engkau siksa kami secara tiba-tiba.” Allah SWT. telah memerintahkan kita untuk menggunakan waktu dalam empat perkara: * Pertama: Dalam perkara yang dapat menyelamatkan keagamaan kita, iaitu berupa ketaatan kepada Allah SWT. Ini terbahagi kepada dua:o Perkara-perkara yang difardhukan oleh Allah kepada kita dan tertentu waktunya, seperti salat, zakat, puasa, haji dan seterusnya.o Perkara-perkara yang dianjurkan oleh Allah kepada kita berupa amalan-amalan nafilah (sunnah), seperti tilawah Al-Quran, sodaqah, zikir dan membaca Selawat Nabi. * Kedua: Dalam perkara-perkara yang juga memberikan manfaat kepada kita , berupa mencari rezeki yang halal untuk keperluan kita dan keluarga yang kita tanggung. Jika hal ini kita lakukan dengan ikhlas, ia menjadi amal ibadah. Rasulullah saw. Bersabda.”Barangsiapa di petang hari keletihan kerana bekerja, di petang itu dia mendapat ampunan.” * Ketiga: Dalam perkara-perkara yang mendatangkan manfaat kepada orang lain. Itu merupakan bahagian dari bentuk penghampiran (qurbah) diri yang paling agung. Rasulullah saw. Bersabda, ”Barangsiapa keluar rumah untuk memenuhi hajat saudaranya, ia seperti orang yang melakukan iktikaf di masjidku ini selama sebulan.” Hal ini memuatkan hakikat bahawa manusia seluruhnya adalah ”keluarga” Allah. Orang yang paling dekat denganNya adalah yang paling baik terhadap keluarganya. Kerana itu, engkau mesti dapat memberikan manfaat kepada mereka, sama ada dalam aspek material atau pun lainnya. * Keempat: Dalam perkara yang dapat memberi ganti atas sesuatu yang hilang dari kita, iaitu waktu istirehat. Kerana sesungguhnya badanmu itu mempunyai hak yang harus kau tunaikan. Kerana itu, tentukanlah waktu khusus untukmu, yang di situ kamu dapat memperbaharui kegiatanmu dan menyegarkan kembali semangatmu. Itu dapat dilakukan dengan cara berenang, memanah, menunggang kuda, santai yang baik, dan jenis-jenis ketrampilan olahraga lainnya. Sayangnya kita telah terbiasa untuk tidak mengenal nilai waktu dalam berbagai aktiviti kehidupan kita. Kita tidak menghargai waktu sebagaimana mestinya dan kita menggunakannya untuk hal-hal yang tidak ada kaitan sama sekali dengan Islam, seperti menonton filem, teater, tarian dan menghadiri kelab-kelab yang penuh maksiat. Kita bertaqlid kepada Eropah secara buta, lebih mengutamakan kegiatan itu daripada kegiatan yang baik dan amalan-amalan yang bermanfaat. Kita memohon kepada Allah SWT. taufiq yang kekal serta hidayah menuju jalan yang paling lurus. Semoga Allah melimpahkan selawat dan salam kepada penghulu kita Muhammad, serta keluarga dan para sahabatnya.